4.5.07

Kesilapan Lazim : Ayat Majmuk Keterangan

Setiap ayat yang gramatis mesti mempunyai subjek dan predikat, tetapi kadang-kadang berlaku proses pengguguran yang diizinkan. Namun, klausa utama dalam ayat majmuk keterangan tidak boleh berlaku proses pengguguran subjek atau predikat.

Contoh ayat: Emak pergi ke pasar kerana hendak membeli ikan.

Terdapat pengguguran subjek dalam klausa keterangan, iaitu emak, tetapi subjek dan predikat dalam klausa utama emak dan pergi ke pasar tidak boleh mengalami proses pengguguran. Kebanyakan pelajar suka menulis ayat tergantung yakni tidak mempunyai predikat dalam klausa utama ayat majmuk keterangan.

Contoh ayat: Ini (Hal ini, Keadaan ini, Masalah ini, dan sebagainya) kerana ibu bapa kurang mengambil berat tentang pergaulan anak-anak mereka dianggap menyalahi hukum tatabahasa dan ayat itu tidak gramatis. Ayat ini tidak gramatis kerana predikat dalam klausa utama digugurkan walaupun subjek dan predikat dalam klausa keterangan tidak digugurkan.

Oleh itu, jika ayat "Emak pergi ke pasar kerana hendak membeli ikan" digugurkan predikat dalam klausa utama, maka ayat yang terhasil ialah Emak kerana hendak membeli ikan. Ayat ini tidak jelas maksud yang hendak disampaikan. Pelajar tidak boleh menggugurkan subjek atau predikat dalam klausa utama dalam ayat di atas. Ayat yang betul ialah Ini (Hal ini, Keadaan ini, Masalah ini, dan sebagainya) berlaku (merebak, terjadi, demikian, dikatakan demikian, begitu, dan sebagainya) kerana ibu bapa kurang mengambil berat tentang pergaulan anak-anak mereka.

No comments: