10.12.09

Peribahasa 1

Contoh Soalan Peribahasa

Kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang terdapat dalam petikan ini.

Peranan belia sangat penting dalam pembangunan negara dan masyarakat. Mereka menjadi
tonggak dan harapan rakyat. Oleh sebab itu, semua pihak mahu belia memikul tanggungjawab
mereka tanpa banyak alasan dan hanya memikirkan satu perkara saja di fikiran mereka, iaitu
bekerja keras. Jika golongan belia tidak dapat menunaikan amanah tersebut, kita tidak dapat
menggambarkan kekecewaan seluruh rakyat yang menggantungkan harapan yang begitu
tinggi kepada mereka.

Jawapan : 1. tulang belakang 2. mandi peluh 3. seperti kaca terhempas ke batu

Novel Konserto Terakhir : Kritikan Masyarakat

Contoh Soalan:

Dalam sesebuah novel, pengarang sering mengkritik masyarakat dengan secara tidak langsung. Huraikan kritikan masyarakat yang terdapat dalam novel yang anda kaji.

Jawaban:
Novel yang saya kaji ialah Konserto Terakhir. Dalam novel Konserto Terakhir, pengarang mengkritik masyarakat bandar yang mementingkan kedudukan dan darjat. Sebagai contohnya, pengarang memaparkan sikap Datuk Johari dan Datin Salmah yang memandang hina terhadap Hilmi yang miskin dan berasal dari kampung.

Selain itu, pengarang mengkritik masyarakat yang tidak mematuhi atau melanggar ajaran agama. Sebagai contohnya, pengarang mengkritik Datuk Johari dan Datin Salmah yang tidak bersembahyang dan minum arak pula.

Pengarang juga mengkritik masyarakat yang tidak bertanggungjawab. Sebagai contohnya, pengarang mengkritik Datuk Johari yang tidak bertanggungjawab kerana meninggalkan isterinya, iaitu ibu Hilmi setelah dikahwininya.

Pengarang juga mengkritik masyarakat yang berat sebelah. Sebagai contohnya, Datuk Johari yang bersikap melebih-lebihkan Mohsin berbanding dengan anaknya sendiri, Hilmi.