1.5.07

Imbuhan meN-

Dalam bahasa Melayu, antara imbuhan yang tinggi kekerapan penggunaannya ialah imbuhan kata kerja meN-. Daripada kekerapan yang tinggi itu, banyak pula kesalahan penggunaannya dan kesalahan ejaan yang dapat ditemukan. Maksud N dalam awalan meN- itu ialah bentuk nasal yang menjadikan kelainan meN- seperti mem-, mem-, dan meng- bentuk nasal juga. Terjadinya demikian itu bergantung pula bunyi huruf pertama dalam kata dasar yang akan bergabung dengan meN-. Jikalau kata dasar bermula dengan huruf d, iaitu letupan gusi, maka nasal yang akan digunakan juga merupakan nasal gusi, iaitu n, menjadikan awalan itu men-. Awalan meN- ialah awalan yang membentuk kata kerja aktif sama ada kata kerja transitif atau tak transitif.

Dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, awalan meN- ini mempunyai empat bentuk kelainan, bergantung pada bunyi huruf pertama kata dasar yang bercantum dengannya. Kelainan yang dimaksudkan itu ialah me-, mem-, men-, dan menge-. Men- menjadi me- apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan bunyi huruf m, n, ny, ng, r, l, w, dan y. Contohnya: memasang, menanti, menyanyi, menganga, meratakan, melempar, mewariskan, dan meyakinkan.

Kata dasar bahasa Melayu yang bermula dengan bunyi huruf, k, s, p, dan t juga menerima awalan me- ini. Dalam hal ini, huruf pertama dalam kata dasar menjadi bentuk sengau yang sama daerah artikulasinya , iaitu m bagi p, n bagi t, ng bagi k, dan ny bagi s, seperti dalam contoh yang berikut: mengasih (kasih), menyalin (salin), memesan (pesan), dan menari (tari), Men- menjadi mem- pula apabila bergabung dengan perkataan yang bermula dengan bunyi huruf b, dan perkataan serapan (pinjaman) yang bermula dengan bunyi huruf f, p dan v, gugus konsonan yang bermula dengan bunyi b dan p. Contohnya: membawa, membalas, membeli, dan lain-lain seumpamanya. Daripada kata bahasa serapan, seperti bahasa Inggeris, terbit bentuk memveto (veto), mempopular (popular).

Daripada bahasa Arab kita temukan perkataan (fitnah), memfatwa (fatwa), dan daripada bahasa Jawa: mempamerkan. Kemudian daripada gugus konsonan kita temukan pula perkataan-perkataan seperti memproses (proses), memplagiat (plagiat), memblok (blok), dan membrek (brek). MeN- menjadi meng-, dan bergabung dengan dasar yang bermula dengan huruf-huruf konsonan g (menggulung), gh (mengghaibkan), kh (mengkhayalkan), dan h (menghantar) dan bunyi-bunyi vokal a (mengambil), e (mengelak), i (mengikat). o (mengolah), dan u (mengulit).

Di samping meng- terdapat juga bentuk menge-. Banyak juga orang keliru dengan bentuk menge- ini. Bila menge- ini digunakan? Sebenarnya, meng- menjadi menge- apabila awalan ini bergabung dengan kata dasar yang terdiri daripada perkataan satu suku kata atau ekasuku. Contohnya perkataan-perkataan cat, had, khas, lap, sah. Kesemua perkataan yang tersenarai itu boleh bergabung dengan menge- membentuk kata terbitan seperti mengecat, mengehad, mengekhas, mengelap, dan mengesah. Bentuk-bentuk mengecat, mengehad, dan lain-lain seumpamanya itu tidak terdiri daripada kata dasar *ecat, *ehad, *ekhas, *elap dan *esah yang telah menerima awalan meng-. Bunyi e pepet yang ditambahkan kepada awalan meng- menjadi menge- berfungsi melembutkan sebutan perkataan-perkataan tersebut. Cubalah amati sebutan bunyi antara *mebom / membom / menbom / mengbom dengan mengebom, atau bunyi *mehad/ *memhad / *menhad / *menghad dengan bunyi mengehad; ternyata sebutan bunyi mengebom dan mengehad lebih halus daripada bunyi bentuk yang lain yang bersifat agak kasar atau mengejut. Demikianlah penjelasan tentang awalan meN- bahasa Melayu. Oleh itu, berhati-hatilah memilih bentuk meN- yang betul lagi tepat sesuai dengan bunyi huruf awal sesuatu kata dasar.

No comments: