11.5.07

Kesilapan Lazim : Struktur Ayat Pasif Diri Pertama dan Diri Kedua

Terdapat pelbagai jenis ayat pasif dalam bahasa Melayu. Antaranya ialah ayat pasif dengan kata kerja pasif yang berimbuhan di-….seperti dimakan, diambil, dibeli, dicari, diproses, dikarang, dan sebagainya. Kata kerja pasif ini ditransformasi daripada kata kerja aktif makan, mengambil, membeli, mencari, memproses,mengarang, dan sebagainya.

Kata-kata kerja pasif ini hanya digunakan untuk ayat pasif diri ketiga sahaja dan tidak boleh digunakan dalam membina ayat pasif diri pertama dan diri kedua. Ayat pasif diri pertama dan diri kedua yang dibina daripada kata kerja transitif aktif meN-…, imbuhan di-… digugurkan.
Contoh ayat pasif jenis ini ialah:
1. Bola itu telah ditendang oleh Ahmad ke dalam gol sendiri.
2. Bola itu telah saya tendang ke dalam gol sendiri.
3. Bola itu telah kamu tendang ke dalam gol sendiri.

No comments: